Sign In
Manage PermissionsManage Permissions

PERUTUSAN

YANG BERHORMAT DATO SERI SETIA

DR HAJI MD ISHAM BIN HAJI JAAFAR

MENTERI KESIHATAN

SEMPENA SAMBUTAN MINGGU IMUNISASI SEDUNIA 2021

TEMA: 'VACCINES BRING US CLOSER'

24 – 30 APRIL 2021

1.           Pada tahun ini, dari 24 hingga 30 April 2021, Negara Brunei Darussalam bersama dengan negara-negara ahli Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sekali lagi akan menyambut Minggu Imunisasi Sedunia. Sambutan Minggu Imunisasi Sedunia merupakan satu kempen tahunan yang bertujuan untuk menggalakkan penggunaan vaksin untuk melindungi setiap individu di semua peringkat umur dari penyakit-penyakit yang boleh dicegah melalui pemberian vaksin.

2.           Tema sambutan pada tahun ini, "Vaccines bring us closer" menunjukkan bagaimana vaksinasi menghubungkan kita dengan orang yang kita sayangi dan bagaimana vaksinasi dapat membantu meningkatkan kesihatan semua orang di sepanjang hayat.

3.           Imunisasi merupakan salah satu intervensi kesihatan awam yang sangat penting dan kos efektif dalam pencegahan penyakit-penyakit berjangkit tertentu dan telah mengelakkan dalam anggaran 2 hingga 3 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia. Pada abad yang lalu, vaksin telah membantu dalam pembasmian penyakit cacar (Smallpox) dan pada masa sekarang, vaksin juga membantu membawa kesihatan global lebih dekat untuk menamatkan penyakit Polio. Dengan adanya vaksin, pada hari ini, berjuta orang menjalani kehidupan yang sihat dan dilindungi daripada lebih dari dua puluh jenis penyakit-penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin seperti campak dan batuk kokol.

4.           Dalam dunia yang saling berkaitan (interconnected) tanpa sempadan pada masa ini, mana-mana wabak yang berlaku di mana-mana sahaja merupakan ancaman kepada seluruh dunia. Vaksin adalah satu kaedah intervensi kesihatan awam yang terbaik untuk kita mengawal wabak penyakit di peringkat global. Seperti yang dilihat dari penularan wabak COVID-19 yang sedang berleluasa, kita boleh melihat dengan jelas bahawa vaksin memainkan peranan yang penting dalam memberhentikan penularan wabak COVID-19 untuk membolehkan kita kembali kepada kehidupan seperti biasa (normal).

5.           Negara Brunei Darussalam, bersama dengan negara-negara ahli Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang lain, menyokong 'Agenda Imunisasi 2030', iaitu strategi global WHO yang membayangkan sebuah dunia di mana semua orang, di mana pun mereka berada dan pada setiap peringkat umur akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada vaksin untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka. Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan adalah komited dan akan terus berusaha untuk mengukuhkan lagi Program Imunisasi di Negara Brunei Darussalam, yang merangkumi kesemua peringkat umur dari kanak-kanak hingga ke golongan warga emas.

6.           Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam kita sangat beruntung kerana semua rakyat dan penduduk di Negara ini dapat menerima perkhidmatan vaksin secara percuma daripada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan. Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam telah mencapai dan mengekalkan kadar liputan imunisasi kanak-kanak di tahap yang melebihi 95% liputan setiap tahun. Pencapaian ini membuktikan bahawa Program Imunisasi Kebangsaan dan inisiatif pemberian vaksin di Negara ini adalah berkesan dan sangat penting. Ianya bukan sahaja memberikan imej yang membanggakan tetapi juga boleh memberikan implikasi positif terhadap Negara Brunei Darussalam, iaitu dalam memberikan perlindungan atau pencegahan seawalnya bukan sahaja kepada seseorang individu, malah kepada individu-individu di sekelilingnya seperti ahli keluarga dan masyarakat secara keseluruhan. Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan akan terus berusaha untuk menambahbaik Program Imunisasi Negara Brunei Darussalam agar pencapaian ini dapat dikekalkan dan juga dipertingkatkan.

7.           Dalam kesempatan ini, sempena Sambutan Minggu Imunisasi Sedunia 2021, saya ingin mengingatkan semua peringkat masyarakat termasuklah setiap individu, keluarga, dan pihak-pihak berkepentingan sama ada daripada pihak kerajaan atau pihak sektor swasta untuk bekerjasama membantu mengurangkan beban global penyakit-penyakit berjangkit yang boleh dicegah melalui pemberian vaksin. Ini adalah sangat penting dan relevan, terutama sekali apabila negara sedang diancam oleh pandemik wabak COVID-19 pada ketika ini.

8.           Pengambilan vaksin COVID-19 adalah merupakan langkah yang paling efektif untuk melindungi diri, keluarga dan juga masyarakat daripada kesan bahaya COVID-19. Dalam jangka masa sederhana dan panjang, semakin ramai orang diberi vaksin, semakin tinggi tahap kekebalan penduduk negara ini terhadap penyakit ini. Ini seterusnya akan dapat mengurangkan kesan COVID-19 terhadap kesihatan awam dan masyarakat.

9.           Alhamdulillah, dalam fasa pertama perlaksanaan program vaksin COVID-19 yang sedang dijalankan pada masa ini, sebanyak 11,690 individu telah menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 setakat ini. Walau bagaimanapun, jumlah ini masih di tahap yang rendah. Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan sangat mengalu-alukan penglibatan orang ramai untuk sama-sama mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 mengikut fasa-fasa yang telah dimaklumkan sebelum ini seperti berikut:

    1. Fasa pertama bagi petugas barisan hadapan (frontliners), warga emas (60 tahun ke atas), pelajar-pelajar yang akan menuntut di luar negera;
    2. Fasa kedua bagi orang dewasa yang berisiko tinggi, guru-guru serta kakitangan pusat penjagaan kanak-kanak; dan
    3. Fasa Ketiga bagi orang ramai berumur 18 tahun ke atas. 

10.       Orang ramai adalah dialu-alukan untuk mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 apabila tempahan untuk mendapatkan slot suntikan dibukakan menurut fasa-fasa yang telah ditetapkan. Pada masa ini, tempahan bagi golongan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas telah dibukakan bermula Khamis, 9 Ramadhan 1442 Hijrah bersamaan dengan 22 April 2021. Mereka yang ingin mengikuti Program Vaksinasi Kebangsaan COVID-19 boleh membuat tempahan perjanjian melalui aplikasi BruHealth atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148. Orang ramai hendaklah memastikan akaun BruHealth mereka telah disahkan jika masih belum disahkan dan mengemaskini maklumat peribadi (nombor Kad Pengenalan, telefon dan alamat) dalam Bru-HIMS di klinik-klinik atau hospital-hospital kerajaan jika belum dikemaskini.

11.       Setiap individu mempunyai peranan yang penting untuk mendapatkan vaksinasi bagi melindungi diri, keluarga dan juga masyarakat terutama sekali daripada kesan bahaya COVID-19. Sokongan dan kerjasama orang ramai akan dapat membantu melindungi seluruh rakyat dan penduduk negara ini daripada penyakit-penyakit berjangkit tertentu termasuk wabak pandemik COVID-19. Oleh itu, saya menyeru orang ramai untuk sama-sama mendapatkan suntikan vaksin yang ditawarkan oleh Kementerian Kesihatan bagi bersama-sama melindungi kesihatan penduduk Negara Brunei Darussalam.

-TAMAT-


Attachments